KOTA KINABALU, 8 Jun – Di Bebaskan…… Pihak berkuasa Filipina mengesahkan empat warga Malaysia yang diculik sekumpulan lelaki bersenjata di perairan Ligitan berhampiran Semporna pada 1 April lalu, dibebaskan dalam keadaan selamat.

Portal berita tempatan memetik Ketua Polis Wilayah Sulu, Senior Superintendan Wilfredo Cayat mengesahkan kesemua mangsa sudah dibebaskan.

Jurucakap Western Mindanao Command, Mejar Filemon Tan Jr, pula berkata semua warga Malaysia terbabit disahkan dibebaskan pagi tadi.

Katanya, unit perisikan pasukan keselamatan negara itu bagaimanapun masih mengumpul maklumat di mana lokasi sebenar kumpulan penculik membebaskan kesemua mangsa.

Sehingga jam 3 petang tadi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta kerajaan negeri Sabah dan Sarawak belum membuat sebarang kenyataan rasmi mengenai perkembangan terbaru empat mangsa culik berkenaan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abd Rashid Harun, ketika dihubungi pagi tadi enggan mengulas mengenai pembebasan empat warga Malaysia terbabit, sebaliknya memberitahu jika ada perkembangan ia akan diumumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Empat warga Malaysia terbabit ialah adik beradik, Wong Teck Pang, 31; dan Wong Teck Chi, 29; serta dua lagi ialah Wong Hung Song, 34; dan Johnny Lau Jung Hien, 21.

Semua mangsa diculik dari kapal tunda MV MASSIVE 6 dinaiki mereka yang dalam perjalanan dari Manila ke Tawau kira-kira jam 6.15 petang pada 1 April lalu.

Ketika kejadian, kapal tunda dinaiki mereka dipintas sekumpulan lapan lelaki bersenjata sebelum mereka dilarikan dengan sebuah bot laju ke perairan Filipina. – WD MY

LEAVE A REPLY