KLANG, DISEMBER 24: BUNUH…Empat sahabat dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang, hari ini atas pertuduhan membunuh mak nyah di sekitar di daerah Klang, dua minggu lalu.

Semua tertuduh iaitu Low Shi Haur, 21; Tan Khim Siang, 19, dan dua remaja lelaki berusia 16 serta 17 tahun mengangguk faham akan pertuduhan bersama dibacakan di hadapan Majsitret Solehah Noratikah Ismail.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama seorang yang masih bebas, didakwa membunuh hingga menyebabkan kematian mangsa, 32, di hadapan hotel di Bandar Bukit Tinggi di Klang, kira-kira 7 pagi, 12 Disember lalu.

Justeru, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Firdaus Idris manakala semua tertuduh masing-masing diwakili peguam Akmal Jusoh, M Varalehchumy dan G Santiago.

Tiada sebarang kos ikat jamin ditawarkan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 Januari depan.

NSTP sebelum ini melaporkan seorang mak nyah parah selepas dibelasah menggunakan senjata tumpul di hadapan hotel berkenaan.

Mangsa yang berasal dari Sabah itu ditemui dalam keadaan terbaring dengan kesan kecederaan oleh seorang pengawal keselamatan premis terbabit.

Dia kemudian disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Empat suspek berusia 16 hingga 21 tahun itu ditahan dalam tempoh 24 jam selepas kejadian.-MY WD