KOTA BHARU, 10 Okt – Diburu…… Pihak PDRM memburu empat suspek dikehendaki bagi membantu menyelesaikan kes berkaitan samun berkumpulan serta jenayah kekerasan yang berlaku di Kelantan.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan, Asisten Komisioner Mohamad Fakri Che Sulaiman, antara suspek yang dikehendaki ialah anggota Geng Eva serta Geng Buyong.

“Tiga suspek anggota Geng Eva yang dikehendaki sejak 2015 dipercayai melakukan samun berkumpulan dengan menggunakan kenderaan mewah jenis Toyota Estima, Toyota Vellfire dan Toyota Alphard.

“Mereka dikenali sebagai Chew Kin Boon, 46, Loke Schieu Joe, 38, dan seorang warga Indonesia Musramy Ahmad, 52.

“Seorang lagi suspek dikenali sebagai Mohd Al Badawi Ab Kadir, 29, turut dikehendaki sejak tahun 2012 kerana terbabit dalam kes jenayah kekerasan selain Geng Buyong,” katanya.

Mohamad Fakri berkata, polis Kelantan memohon kerjasama masyarakat agar tampil menyalurkan maklumat jika mengetahui lokasi suspek berada bagi membantu melengkapkan siasatan.

“Jika terdapat sebarang maklumat, boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Kes Jabatan Siasatan Jenayah D7 Asisten Supritendan Polis (ASP) Robert Ewin Anak Peter Raig, “katanya. – WD MY

LEAVE A REPLY