KUALA LUMPUR, 6 Dis – EMPAT TUNJANG…. Pergerakan Wanita UMNO perlu berpegang kepada empat tunjang bagi memastikan gerak kerja akar umbi bergerak seiring era politik alaf baharu.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, berkata empat tunjang berkenaan merangkumi Pedang Keberanian, Perisai Kesetiaan, Bahtera Satria dan Strategi Perang.

Pertama, katanya, pedang tidak diukur mengikut saiz tetapi kaedah penggunaannya.

“Jangan kita takut kepada kekuatan lawan, sebaliknya percaya kepada pedang yang dimiliki.

“Kedua, Perisai Kesetiaan adalah benteng pertahanan. Ketika diasak, kesetiaan menjadi perisainya.

“Tunjang ketiga ialah Bahtera Satria. Ini pengemudi kita untuk meluncur membelah halangan.

“Keempat adalah Strategi Perang. Bukalah mana-mana sejarah, ini yang menjadi penentu kemenangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini. – WD MY