PORT DICKSON, 3 Jan – MAUT…. Empat warga Singapura maut termasuk seorang kanak-kanak, manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di simpang tiga Jalan Lukut-Sepang.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Zainudin Ahmad, berkata kejadian kira-kira jam 2 petang itu dipercayai berpunca apabila sebuah lori dari arah Sepang, Selangor, gagal memberhentikan kenderaan.

Katanya, lori itu kemudian melanggar tiga kereta dan sebuah motosikal yang berhenti di lampu isyarat di persimpangan jalan itu.

“Sebuah daripada kereta itu turut diseret lori menyebabkan empat mangsa yang berada di dalam kenderaan itu maut di tempat kejadian,” katanya.

Zainudin berkata, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, punca kemalangan masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.29 petang dan bergegas ke lokasi bersama sebuah jentera dan lapan anggota.

Katanya, bomba mengambil masa kira-kira sejam bagi mengeluarkan mangsa tersepit dalam kereta yang diseret lori berkenaan.

Kemalangan itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas sejauh lima kilometer. – WD MY