SERDANG, 4 Okt – LEMAS…. Enam penyelam bomba yang lemas ketika mencari remaja yang dilaporkan terjatuh ke sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Puchong semalam, terperangkap dalam pusaran air.

Hujan lebat menyebabkan arus kuat sekali gus membentuk pusaran di lokasi kejadian dan pihak berkuasa percaya remaja berkenaan berada dalam pusaran terbabit.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohammad Hamdan Wahid, berkata keenam-enam anggota bomba Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang terkorban bergelut untuk keluar dari pusaran terbabit namun gagal.

“Anggota di lokasi cuba mengeluarkan semua mangsa dan bantuan kecemasan turut diberikan namun mereka gagal diselamatkan.

“Kita dapati terdapat penghadang banjir di lokasi dan hujan yang lebat mengakibatkan aliran air deras dan melimpah ke tebing.

“Bagaimanapun, kita akan lakukan siasatan dalaman supaya dapat elakkan kejadian ini daripada berulang pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Serdang malam tadi.

Empat anggota PPDA Pelabuhan Klang yang lemas adalah Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim,32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24, manakala Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25 adalah anggota PPDA Shah Alam

Katanya, semua mayat akan dibedah siasat hari ini.

“Semua jenazah kemudiannya ke Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam untuk solat jenazah dan akan diberikan penghormatan terakhir.

“Pengebumian akan dilaksanakan di lokasi masing-masing dan setiap balai yang terbabit akan bersedia untuk memberikan bantuan yang diperlukan bagi melancarkan urusan.

“Kejadian ini sememangnya amat tidak dijangka dan kami mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terbabit dalam tragedi ini.

“Pertama kejadian sebegini berlaku selepas kami pernah kehilangan dua penyelam di dasar laut beberapa tahun lalu,” katanya. – WD MY

INFO

Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA)

* Ditubuhkan pada 1987 dengan dikenali Unit Scuba Bomba

* Dikenali PPDA pada 2006

* Anggota PPDA mesti ada lesen menyelam daripada National Association of Underwater Instructors (NAUI)