PETALING JAYA, 5 Feb – Enam individu, termasuk empat remaja bawah umur yang terbabit dengan kes buli pelajar sekolah sehingga video rakaman perlakuan mereka menjadi viral, didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tiga daripada remaja bawah umur berusia 17 tahun itu mengaku bersalah, manakala tiga lagi termasuk seorang bawah umur dan dua berusia 18 dan 19 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di depan Majistret Fadzlin Suraya Mohd Suah.

Mengikut tuduhan, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Tan Sze Keong, penuntut kolej swasta, Lim Khoi Boo Kean dan empat lagi remaja bawah umur itu bersama-sama didakwa menyuruh dua pelajar berusia 15 tahun bersujud sambil menjilat jalan raya dengan niat mengaibkan kehormatan mangsa di kawasan belakang sebuah sekolah menengah di Sea Park, Kelana jaya pada jam 1 petang, 29 Januari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan semua tertuduh bawah umur masing-masing diikat jamin RM500 dengan seorang penjamin, manakala Sze Keong dan Boo Kean masing-masing diberi jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin, sebelum menetapkan 10 Mac ini untuk sebutan semula kes. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY