IPOH, 30 Okt – Tengendala……. Laluan ETS bagi laluan Ipoh ke Kampar di Stesen KTM Ipoh masih belum beroperasi setakat pagi ini.

Perkhidmatan yang sepatutnya beroperasi seawal perjalanan pertama jam 5 pagi tadi, masih tergendala susulan kejadian kereta api kargo tergelincir di Kampung Bakap, Batu Gajah sejak Jumaat lalu.

Penumpang ke arah selatan masih perlu menaiki bas transit dari stesen itu ke Kampar.

Papan tanda di stesen KTM Ipoh memaklumkan perjalanan tren masih tergendala dan KTMB memohon maaf kepada penumpang atas kesulitan dialami.

Setakat ini hanya perkhidmatan ETS bagi laluan Ipoh ke utara dibuka kepada penumpang berikutan perjalanan berkenaan tidak membabitkan kawasan insiden.

Semalam, Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Nawawi Ahmad, berkata kerja-kerja pengalihan gerabak yang tergelincir dan terbalik sudah lebih 70 peratus siap dilakukan setakat 5 petang. – WD MY