IPOH, 28 Okt – Sesak…….. Penumpang perkhidmatan tren elektrik (ETS) terkandas di Stesen KTM Ipoh berikutan kejadian gerabak Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) yang membawa muatan barang tergelincir daripada landasan di Kampung Bakap Batu Gajah di sini hari ini.

Keadaan stesen KTM berkenaan didapati keadaan stesen menjadi lebih sesak daripada biasa berikutan kebanyakan penumpang yang mahu bercuti dan pulang untuk menyambut perayaan Deepavali.

Penumpang yang sepatutnya menaiki tren bagi perjalanan ke utara dan selatan kini masih menunggu di platform sebelum menerima arahan untuk meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

Difahamkan, bagi penumpang yang ingin ke selatan, mereka akan dibawa menaiki bas ke Stesen KTM Kampar untuk menggunakan perkhidmatan tren bermula dari sana manakala bagi perjalanan ke utara, penumpang yang datang dari selatan akan dibawa ke Stesen KTM Ipoh.

Penumpang, Mohd Fauzi Senawi, 40, berkata, dia yang datang dari Kangar dalam perjalanan ke KL Sentral untuk menaiki kapal terbang ke Labuan terkandas di stesen berkenaan sejak jam 10 pagi.

“Pihak KTMB memberi makluman ketika saya isteri dan anak-anak berada dalam kereta api, saya pada awalnya merasa agak risau kerana tertanya-tanya apa yang berlaku di landasan.

“Saya menjadi bertambah panik apabila perlu mengejar penerbangan ke Labuan di KLIA pada jam 4 petang ini,” katanya.

Penumpang, S Sathia, pula berkata, dia yang mahu pulang menyambut Deepavali di rumah mentua buat pertama kali kerana baru berkahwin.

“Saya sudah menunggu hampir lebih 3 jam di stesen dan sepatutnya saya dan isteri yang sedang mengandung sudah tiba di Butterworth pada jam 11.30 pagi lagi.

“Saya sudah menghubungi semua perkhidmatan bas tetapi penuh, jadi kami masih terus menunggu,” katanya.

Penumpang S Thangamani, 60, pula berkata, dia tidak menyangka kesesakan teruk di stesen akibat terkandas.

“Saya sudah menyediakan maruku dan kuih untuk beraya, harap dapat tiba di rumah saudara di Kuala Lumpur untuk menyambut perayaan tanpa sebarang masalah,” katanya.

Sementara itu, jurucakap daripada stesen berkenaan berkata, ETS mampu menumpang kira-kira 300 penumpang pada satu-satu masa.

“Penumpang sudah terkandas bermula dari perjalanan jam 7.30 pagi lagi dan setakat ini enam perkhidmatan tren terganggu,” katanya. – WD MY