BRUSSELS, 14 OGOS –  Kesatuan Eropah (EU) mengenakan duti import terhadap biodiesel bersubsidi dari Indonesia bagi mewujudkan persaingan lebih adil kepada pengeluar di EU, kata pihak berkuasa, semalam.

Suruhanjaya Eropah mengenakan duti sementara antara lapan hingga 18 peratus, namun memberi amaran ia akan mengenakan duti kekal, menjelang akhir tahun ini.

“Siasatan suruhanjaya mendapati pengeluar biodiesel Indonesia menerima manfaat geran, manfaat cukai dan akses kepada bahan mentah di bawah harga pasaran.

“Ia mewujudkan ancaman kerosakan ekonomi kepada pengeluar EU,” menurut kenyataan suruhanjaya itu.

Katanya, siasatan tertumpu kepada kemungkinan subsidi untuk pengeluaran biodiesel sama ada membabitkan minyak sawit atau bahan mentah lain yang jarang digunakan.

Pasaran biodiesel EU bernilai kira-kira sembilan bilion euro (RM42.39 bilion) setahun dengan import dari Indonesia berjumlah 400 juta euro (RM1.87 bilion).

Minyak sawit adalah minyak sayuran paling meluas digunakan di dunia dan menjadi bahan penting kepada pelbagai produk daripada makanan kepada kosmetik. – WD MY