IPOH, 14 JUN – DAKWAAN…… Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari menafikan tuduhan cuba meminta “komisyen” daripada dua syarikat berkenaan permohonan untuk tanah milik kerajaan berkeluasan 93 ekar.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya segala tuduhan dan fitnah jahat yang dilempar terhadap saya seperti laporan polis yang dibuat dan ditularkan pada hari ini,” katanya dalam suatu kenyataan malam tadi.

Menurut Abdul Yunus yang juga Adun Kuala Kurau, dakwaan itu merupakan konspirasi jahat untuk membunuh kerjaya politiknya kerana pendiriannya menyokong Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali pada pemilihan parti yang lalu.

“Saya yakin, tuduhan keji ini dibuat untuk membunuh karier politik saya dan ianya telah bermula sejak pemilihan Parti Keadilan Rakyat pada tahun lalu lagi semata-mata kerana pendirian teguh saya bersama Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali.

“Konspirasi jahat ini kini diteruskan untuk menjatuhkan saya sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak dan mensabotaj kepimpinan Menteri Besar Perak (Ahmad Faizal Azumu) khususnya menjelang istiadat pelantikan dan angkat sumpah exco dalam masa terdekat,” katanya lagi.

Pagi tadi, bekas pegawai khas exco Perak itu, Beh Yong Kean membuat laporan polis berkenaan dakwaan tersebut.

Dia menuduh Abdul Yunus berniat memberi sokongan kepada permohonan dua syarikat itu dengan komisyen sebagai pertukaran.

Dakwanya lagi, exco itu membocorkan minit mesyuarat kerajaan negeri kepadanya agar dia dapat memulakan proses rundingan dengan dua syarikat itu.

“Pada 4 Oktober 2018, lebih kurang 9.30 malam di pejabat pusat khidmat adun, dia membocorkan kertas minit mesyuarat majlis mesyuarat kerajaan negeri Perak kepada saya supaya memulakan rundingan dengan (dua syarikat itu) untuk permohonan milikan tanah kerajaan seluas 63 ekar di Bagan Tiang dan 30 ekar di Kuala Kurau.

“Dia mengarahkan saya supaya meminta komisyen daripada kedua-dua syarikat itu untuk sokongannya dalam mesyuarat masjlis mesyuarat negeri,” dakwanya dalam laporan polis.

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berkata kerajaan negeri memandang serius dakwaan Yong Kean itu dan akan memberi kerjasama penuh kepada siasatan pihak berkuasa.

“Seperti laporan polis lain, kita perlu dan akan beri kerjasama penuh dalam siasatan. Ini dakwaan serius dan kita tidak pandang ringan,” katanya.

Abdul Yunus dalam kenyataan balasnya pula mendakwa Yong Kean berdendam kepadanya dan menuduh bekas pembantunya itu sebagai “pemilik kilang haram.”

“Saya ingin menegaskan bahawa saudara Beh Yong Kean yang membuat laporan polis ke atas saya adalah pemilik kilang haram di Tanjung Piandang.

“Saya yakin, beliau mempunyai motif dendam ke atas saya memandangkan saya juga tidak menyokong kelulusan beberapa permohonan tanah yang dipohon oleh beliau sejak tahun yang lalu,” dakwanya yang juga bekas setiausaha PKR negeri.

Bagaimanapun, Abdul Yunus berkata beliau percaya Yong Kean cuma diperalatkan dalang yang tidak disebut namanya dan akan membuat laporan polis mengenai hal ini.

“Saya percaya ada dalang disebalik tindakan jahat ini dan beliau (Yong Kean) telah diperalatkan oleh pihak-pihak tertentu bagi mencalarkan integriti dan imej saya sebagai exco kerajaan Negeri.

“Untuk maksud itu, saya akan membuat laporan polis bersangkut tuduhan jahat dan laporan palsu yang dibuat oleh beliau ke atas diri saya,” katanya lagi.

Sementara itu, exco Pemuda PKR (AMK) Perak yang juga Penyelaras DUN Kuala Kurau, Muhamad Aiman Aizuddin dalam suatu kenyataan malam ini berkata tuduhan terhadap Abdul Yunus “sebagai tidak berasas” dan “menyerahkan kepada pihak polis menjalankan siasatan.” – WD MY