KUALA LUMPUR, 24 JULAI – DURIAN…. Aroma dan kelazatan durian sering meniti perbualan masyarakat di Malaysia, malah ‘penangan’ raja buah ini semakin meraih populariti di pasaran antarabangsa, khususnya China.

Sebagai tanda pengiktirafan dan saluran memacu produktiviti, Ekspo Durian Kuala Lumpur 2019 yang pertama kali dianjurkan, akan berlangsung di Bukit Kiara Equestrian and Country Resort, selama tiga hari, mulai Jumaat ini.

Ekspo yang mendapat sokongan Pelancongan Malaysia dan Jabatan Pertanian itu bakal menyaksikan penyertaan golongan profesional dan penggemar durian terbesar dari Malaysia serta luar negara.

Pengunjung akan berpeluang untuk mencuba pelbagai jenis durian di Malaysia menerusi penganjuran bufet atau membeli dan menikmati kelazatan raja buah ‘ala carte’ di tapak ekspo, selain mengunjungi pelbagai gerai pameran perdagangan serta perniagaan.

Pengunjung berupaya memperoleh maklumat mengenai pelbagai produk durian seperti ‘musang king’ (raja musang)’ dan ‘duri hitam’, masing-masing yang terkenal dari Pahang serta Pulau Pinang, manakala peserta perdagangan mempunyai peluang untuk meluaskan rangkaian kenalan sepanjang ekspo.

Dalam keasyikan menjamah durian dengan isi serba kekuningan, ekspo ini bakal menampilkan penganjuran acara seminar, simposium dan peluang bertemu penggiat utama dalam sektor pengeluaran ‘raja buah’ dari seluruh dunia.

Antara pengisian untuk pengunjung adalah demonstrasi memasak oleh alumni Master Chef United Kingdom, Zaleha Kadir Olpin dan pameran Projek Pteropus yang menjalankan penyelidikan berterusan mengenai peranan kelawar buah dalam pendebungaan bunga durian.

Turut berlangsung, sesi interaksi bersama perunding durian dan sektor perladangan, Lim Chin Khee bertajuk ‘Perniagaan Durian dan Memulakan Ladang Durian Anda’, selain perkongsian daripada kakitangan Jabatan Pertanian, Mohd Ali Hanafiah Mazlan berhubung kaedah serta pengurusan durian.

Kemasukan ke tapak ekspo mulai jam 10 pagi hingga 8 malam adalah percuma, manakala bayaran dikenakan untuk acara bufet dan seminar.

Sebarang pertanyaan lanjut dan pendaftaran boleh dilayari di www.durianexpo.com. – WD MY