SARAWAK, NOVEMBER 8: NGO Hisbah Centre for Reform terkejut dan kesal dengan lawatan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail ke Julau, Sarawak, semalam menjelang pemilihan PKR, Sabtu ini.

Pengerusinya, Mohamad Ezam Mohd Nor berkata berlaku perlanggaran etika kewangan negara yang amat ketara.

“HISBAH merakamkan rasa amat kesal di atas perlanggaran etika kewangan ini yang dilakukan sendiri oleh pimpinan tertinggi sebuah kerajaan yang komited melakukan perubahan dan reformasi.

“Kerajaan baru ini tidak boleh dibenarkan sama sekali melakukan kesalahan yang sama pernah dilakukan kerajaan rasuah terdahulu dengan menggunakan harta negara sewenang-wenangnya dan melanggar prinsip amanah terhadap khazanah milik negara dan rakyat,” katanya.

Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR Latheefa Koya semalam turut mempersoalkan lawatan Wan Azizah dengan menyifatkannya “tidak wajar” atas alasan sama.

Dalam kenyataan semalam, Mohd Ezam berkata pada lawatan tersebut beliau juga difahamkan anggota parlimen Pandan itu mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000.

“Wan Azizah telah membuat pengumuman memberikan peruntukan kerajaan sebanyak RM100,000 ringgit untuk satu kawasan khusus yang terlibat dalam pemilihan di hadapan pengundi-pengundi dan calon yang bertanding.

“HISBAH sedia maklum PKR sedang menghadapi pemilihan partinya dan timbalan perdana menteri yang juga presiden parti mempunyai kecenderungan menyokong salah satu kem dalam pemilihan ini.

“Namun keghairahan berkempen tidak boleh sehingga menyebabkan berlaku perlanggaran dari sudut etika pengurusan kewangan negara,” katanya.

Oleh demikian, Hisbah mendesak jawatankuasa kerajaan mengenai keutuhan kewangan negara segera memulakan siasatan terhadap Wan Azizah atas kesalahan “penyalahgunaan kuasa dan sumber kewangan negara” sebagai anggota pentadbiran kerajaan yang diamanahkan.

“Menggunakan dana negara sebagai satu bentuk umpan menarik sokongan politik terhadap seseorang calon atau kumpulan calon dalam sesebuah parti adalah satu kesalahan serius dan salah guna kuasa,” katanya.-MY WD