KUALA LUMPUR, 30 Jun – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan program projek Baju Raya iM4U di Giat Mara Bandar Tun Razak.
?
“Fabrik Kasih” merupakan program kerjasama antara iM4U dan Giat Mara mensasarkan 125 anak yatim berumur 4 hingga 17 tahun daripada 4 buah rumah sekitar Wilayah Persekutuan dan Selangor.?

Perdana Menteri membuat tinjauan persiapan di Giat Mara hari ini dan melihat anak-anak yatim sedang mengukur size untuk dibuat baju.

Rezeki Ramadan dilimpahkan melalui pelbagai cara dan bagi 145 orang anak yatim sekitar Kuala Lumpur dan Selangor tahun ini, mereka mendapat baju raya yang direka dan dijahit khas di bawah projek Fabrik Kasih.

Projek itu yang diadakan dengan kerjasama 1M4U dan GiatMara itu, anak-anak yatim dari empat buah rumah anak yatim berkenaan dapat bergaya dengan baju yang direka khas bersama pereka fesyen Fairuz Ramdan sebagai mentor kepada pelajar Jurusan Fesyen GiatMara yang menjahit baju-baju tersebut.

Dalam kunjungan ringkas itu, perdana menteri sempat melihat sendiri rekaan baju-baju raya yang sedang disiapkan dan mencuba satu daripada rekaan baju raya itu kepada seorang daripada anak yatim berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif iM4U Rudy Malik berkata projek itu bertujuan membantu anak-anak yatim yang kurang berkemampuan untuk turut sama merasai kemeriahan Hari Raya Aidilfitri yang akan diraikan tidak lama lagi.

“Projek baju raya ini melibatkan kira-kira 50 pelajar daripada GiatMara yang akan menjahit baju raya bagi anak-anak yatim yang dipilih yang berumur 4 hingga 17 tahun,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Rudy inisiatif fesyen itu selain bertujuan memberi sumbangan kepada anak yatim, juga untuk menggalakkan pembelajaran daripada seni dengan menyuntik elemen kreativiti di kalangan pereka fesyen untuk mereka koleksi pakaian hari raya yang unik.

Katanya kesemua baju raya yang dijahit dijangka dapat diberikan kepada anak-anak yatim itu pada 8 Julai ini dalam satu majlis berasingan.

Dalam pada itu, Fairuz berkata rekaan baju raya yang dihasilkan berdasarkan kepada kreativiti pelajar GiatMara sendiri.

“Sebagai mentor, saya hanya membimbing mereka sedikit sebanyak selain berkongsi pengetahuan mengenai apa yang berlaku di dalam industri fesyen ketika ini sebagai satu input dan pendedahan kepada pelajar-pelajar ini,” katanya. -Sharini Abdulah, Faizal Dato Badarudin (WD MY)

LEAVE A REPLY