MANILA, 29 MAC – PADAM…. Facebook Inc memadam 200 akaun Facebook dan Instagram di Filipina disebabkan perlakuan yang tidak bertanggungjawab serta mengaitkannya dengan ahli perniagaan yang mengurus kempen dalam talian presiden pada 2016.

Menurut Facebook hasil siasatan mereka mendapati aktiviti dalam talian itu mempunyai kaitan dengan rangkaian yang di bawah seliaan bekas ketua eksekutif Kumpulan media Omnicom Filipina yang dikenali sebagai Nic Gabunada.

“Beberapa individu yang terbabit dengan aktiviti ini menggunakan kombinasi akaun sah dan palsu untuk menyiarkan kandungan di pelbagai laman dan kumpulan,” kata Ketua Dasar Keselamatan Siber Facebook, Nathaniel Gleicher dalam satu kenyataan.

Katanya mereka kerap memuat naik berita tempatan dan politik, termasuk beberapa topik membabitkan pilihan raya akan datang, kemas kini calon dan pandangan mereka.

“Mereka turut memuat naik dakwaan salah laku pembangkang dan peristiwa kontroversi yang dikatkaan berlaku ketika pentadbiran terdahulu,” katanya.

Facebook berkata mereka sudah memadam laman dan akaun berdasarkan perlakuan mereka bukan kerana apa yang mereka kongsikan.

Gabunada ketika ditemubual rangkaian berita ABS-CNB berkata, agak ‘malang’ kerana Facebook mengaitkan beliau dengan beberapa laman dan akaun.

“Jika mereka mahu memadamkan akaun, itu adalah hak mereka tetapi pada masa sama mereka perlu mempertimbangkan tindakan itu kerana saya tidak melakukan seperti pertuduhan itu,” kata Gabunada. – WD MY