BANGKOK, 1 Feb – Kerajaan junta Thailand memberi tekanan kepada syarikat media seperti Facebook dan Line agar patuh kepada perintah mahkamah khususnya dalam melupuskan kandungan yang dianggap menjejaskan keamanan dan kesejahteraan.

Ahli Majlis Penasihat yang dilantik junta, Jeneral Pisit Paoin berkata, mereka akan mengadakan pertemuan dengan para eksekutif dari kedua-dua syarikat itu tiga bulan lagi.

Junta telah berjaya mendapatkan perintah mahkamah agar dua syarikat itu melupuskan segala jenis kandungan yang boleh mencabar kedaulatan negara dan monarki selain menjejaskan keamanan dan kesejahteraan.

Selama ini, menurut pihak majlis penasihat itu, kandungan seumpamanya masih dibiarkan tersiar, maka kedua-dua syarikat berkenaan selepas ini diminta untuk segera memberi maklum balas dan bertindak jika terdapat sebarang unsur yang melanggar perintah tersebut.

Junta Thailand selama ini berdepan kritikan daripada kumpulan hak asasi yang menyifatkan tekanan autoritarianisme semakin bertambah sejak mereka berkuasa pada Mei 2014.

Percubaan sebelum ini untuk memastikan semua platform media melupuskan kandungan berunsur politik tidak begitu berkesan, walaupun negara itu telah mengekang ribuan kandungan web.

Jumlah orang yang ditahan dibawah undang-undang kerana mengkritik monarki juga semakin bertambah.

Sementara itu, wakil Facebook dan Google masih belum dapat dihubungi untuk memberi komen.

Pihak berkuasa Negara Gajah Putih itu pernah membuat tuntutan mengekang kandungan yang seumpamanya pada 22 Januari terhadap gergasi teknologi Google, yang turut memiliki platform perkongsian video YouTube.

Pihak berkuasa juga semakin giat menjejak dan mengambil tindakan ke atas pengkritik junta.

Bekas ahli politik dari Parti Pheu Thai dari pentadbiran bekas perdana menteri Yingluck Shinawatra pada Jumaat telah didakwa kerana menyalahi Akta Jenayah Komputer berikutan tindakannya berkongsi video mempersenda pemimpin junta Jeneral Prayuth Chan-O- Cha. – Sharini Abdulah / Agensi (WD MY)

LEAVE A REPLY