KUALA LUMPUR, 30 Sept – Fahami Mesej TPM…..Tumpuan wajar diberi terhadap inti pati dan mesej disampaikan dan bukannya mengkritik cara penyampaian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid ketika berucap pada sesi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke-71, 24 September lalu.

Datuk Seri Anifah Aman, berkata sikap segelintir rakyat yang lebih suka menggembar-gemburkan cara penyampaian ucapan Ahmad Zahid berbanding meneliti mesej disampaikan Malaysia amat mendukacitakan.

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mempunyai pelbagai negara anggota dan ramai pemimpin menyampaikan ucapan mengikut nada serta lenggok gaya bahasa mereka.

“Apa yang penting adalah mesej disampaikan itu difahami kerana pandangan mereka disasar untuk semua negara anggota PBB.”Justeru, adalah mendukacitakan apabila ada rakyat Malaysia lebih suka membuat kecoh terhadap cara penyampaian ucapan Timbalan Perdana Menteri berbanding mesej disampaikan Malaysia pada UNGA lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Zahid yang mengetuai delegasi Malaysia pada UNGA ke-71 menyampaikan mesej jelas mengenai pendirian Malaysia yang komited terhadap Agenda Pembangunan Lestari 2030 dan pelaksanaan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

Timbalan Perdana Menteri turut menyatakan pendirian tegas Malaysia dalam isu perubahan iklim, keganasan, nasib Palestin dan menangani masalah imigran serta pelarian ke negara ketiga.

Anifah berkata, mesej disuarakan Malaysia diterima baik negara anggota lain yang diterjemahkan menerusi ucapan penghargaan dan tahniah daripada pemimpin asing. – WD MY

LEAVE A REPLY