PUTRAJAYA, 19 April – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
berkata faktor usia calon Barisan Nasional (BN) bagi
pilihan raya kecil Parlimen Rompin yang dipertikaikan sesetengah pihak termasuk
pembangkang tidak akan mengganggu kempen untuk mengekalkan kerusi itu dengan
majoriti besar.

Menurut beliau, pengalaman, ketokohan dan penerimaan rakyat terhadap bekas
timbalan menteri besar Pahang, Datuk Hasan Arifin yang diumumkan sebagai calon
BN dengan sendirinya menjadi elemen terkuat menangkis kritikan terhadap pilihan
yang dibuat.

“Selain faktor umur apa lagi yang mereka boleh cakap…kami pilih calon
berpengalaman dan pernah berkhidmat serta diterima rakyat di Rompin.

“Keputusan telah dibuat dan tugas kami seterusnya ialah untuk pastikan Datuk
Hasan menang dengan majoriti lebih besar,” katanya pada sidang media selepas
meninjau Hari Terbuka Transformasi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) disini.

Selepas diumumkan sebagai calon BN oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri
Muhyiddin Yassin semalam, pemilihan Hasan, 62, yang pernah menjadi timbalan
menteri Besar Pahang pada tahun 1995 hingga 1999 mula dikritik atas faktor usia
selain tuduhan pemilihannya melanggar hasrat meremajakan UMNO seperti yang
dihasratkan parti itu sebelum ini.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata paling penting UMNO dan BN
menurunkan seorang calon yang paling popular dan diterima pengundi serta
masyarakat di Rompin.

“Persoalan diterima atau tidak kita tunggulah sehingga selesai pengundian
pada 5 Mei ini,” katanya,-Rizalman Has (WD MY)

LEAVE A REPLY