SEPANG,JUN 4:MEMBANTU.. Biarpun masih memerlukan alat sokongan khas yang dipakai pada kaki kiri, selebriti Fara Fauzana Mohd Fadzil tetap komited mahu menyantuni pelarian Syria yang ditempatkan di kem pelarian di Jordan dan Turki menerusi Misi Bantuan Kemanusiaan Syria Ramadan Al-Habeeb 6.0.

Bekas pengacara program Muzik Muzik 31 itu berlepas bersama tiga lagi sukarelawan dan mereka akan ke Jordan seterusnya ke Turki sebelum pulang ke tanah pada 9 Jun.

Misi bantuan berkenaan anjuran bersama Malaysia Life Line for Syria (MLLFS) iaitu sebuah projek di bawah Global Peace Mission Malaysia dan masuk kali keenam diadakan sejak tujuh tahun konflik di negara berkenaan.

Menceritakan kecederaan kaki kiri yang dialaminya, Fara berkata, ia berlaku sewaktu dia bermain badminton pada Isnin lalu sekali gus perlu menggunakan tongkat untuk berjalan.

“Hari ini saya tidak bertongkat dan setakat ini, saya sudah mengikut arahan doktor jadi tak risau sangat. Sekiranya tak pakai ini (alat sokongan khas), ada rasa (sakit) sebab baru saja terkena.

“Dari segi persiapan mental, saya dah bersedia dan untuk fizikal, jika ada rasa sakit atau menghadapi masalah sekali pun, ada benda yang perlu saya fokus.

“Jadi ini memberi semangat kepada saya dan ia tidak mendatangkan masalah,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam sebelum berlepas ke Jordan.

Menceritakan tugasnya di sana, Fara berkata, ini kali kedua dia menyertai misi bantuan untuk pelarian Syria dan sebagai duta MLLFS, dia bertindak menjadi perantara menyampaikan sendiri sumbangan daripada rakyat Malaysia.

“Pada masa sama, ini kali pertama saya berpuasa di negara orang dalam tempoh kira-kira 17 jam tetapi dalam masa sama, kita perlu melaksanakan pelbagai aktiviti kepada pelarian Syria terbabit,” katanya.

Dalam pada itu, Fara berkata, semasa di Jordan, dia juga akan merasai pengalaman bermalam bersama balu dan ibu tunggal pelarian terbabit untuk mengetahui lebih lanjut mengenai keadaan kehidupan mereka.

“Ketika misi sebelum ini, saya tidak merasai pengalaman bermalam bersama mereka dan kali ini, saya akan tengok lebih dekat macam mana realiti kehidupan pelarian Syria.

“Selain itu, kita akan membawakan maklumat lanjut dan pengalaman saya ini menerusi siaran langsung pada laman sosial Facebook,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission Malaysia, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, untuk bulan Ramadan ini, pihaknya menyasarkan sumbangan bantuan sehingga RM550,000 bagi membantu pelarian Syria.

“Untuk misi ini, kita membawa sumbangan sebanyak RM500,000 dan berharap lebih ramai lagi rakyat Malaysia akan memberi sumbangan bagi membantu pelarian terbabit.

“Sehingga kini, kita sudah menyalurkan sebanyak RM10 juta hasil sumbangan daripada rakyat Malaysia yang prihatin malah, pelantikan Fara sebagai duta MLLFS turut membantu meningkatkan jumlah kutipan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam misi berkenaan, sukarelawan terbabit berusaha untuk memasuki Syria bagi menyampaikan bantuan kepada pelarian di Aleppo dan Idlib.

“Kita dalam keadaan bersedia namun tidak semestinya boleh masuk ke sempadan dan ini bergantung kepada keadaan,” katanya.

Rakyat Malaysia yang mahu menyalurkan sumbangan ke Tabung Bantuan Kemanusiaan Ramadan Al-Habeeb 6.0 boleh berbuat demikian melalui portal diĀ www.billplz.com/fafau4syria.

Sumbangan juga boleh disalurkan ke akaun Malaysia Life Line for Syria Berhad pada akaun Maybank : 564810513971 atau Bank Islam : 14210010009882.-MY WD