KUALA LUMPUR, 29 JUN – BANGGA…….Kali pertama memikul tanggungjawab sebagai pembawa Jalur Gemilang ke Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Napoli, Itali minggu depan tidak memberi tekanan buat ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi yang berazam untuk mempamer aksi terbaik buat kontinjen negara.

“Ini adalah kali pertama dalam karier saya diberi tanggungjawab selaku pembawa Jalur Gemilang tetapi saya tak rasa tertekan (untuk menghadiahkan pingat buat kontinjen.

“Saya rasa berbangga apabila terpilih menjadi pembawa Jalur Gemilang. Saya tak rasakan ia adalah satu cabaran atau bebanan tetapi bagi saya ia memberi saya lebih semangat untuk beraksi di tahap terbaik di Napoli nanti,” katanya.

Gimnas berumur 25 tahun itu tampil pada penyertaan keduanya di Universiade dengan penyertaan sulung pada 2015 di Gwangju, Korea Selatan menyaksikan beliau menduduki tempat keenam individu keseluruhan dan membantu pasukan berada di kedudukan keempat keseluruhan.

“Sasaran saya adalah buat yang terbaik kerana saingan bukanlah mudah berikutan negara kuat seperti Russia, Itali dan Perancis menyenaraikan gimnas terbaik mereka.

“Saya tak mahu meletakkan sasaran pingat dahulu, buat masa ini saya mahu melepasi ke peringkat final untuk melayakkan kami dalam acara pasukan,” kata penuntut Universiti Monash itu.

Farah Ann akan bergandingan dengan Tan Ing Yueh dan Rachel Yeoh dalam acara berpasukan.

“Pada kali ini hanya tiga gimnas sahaja bertanding dalam acara berpasukan dengan hanya dua catatan mata terbaik diambil kira berbanding empat gimnas boleh bertanding pada temasya di Gwangju.

“Hanya saya dan Ing Yueh yada pengalaman bertanding di Gwangju dengan Rachel akan turut serta buat kali pertama,” katanya.

Kontinjen negara terdiri daripada 35 atlet dan 22 pegawai akan turut serta dalam tujuh jenis sukan sambil meletakkan sasaran memenangi sekurang-kurangnya satu pingat tanpa mengira warna pada temasya di Napoli bermula 3-14 Julai ini. – WD MY