KOTA KINABALU, 16 Sept – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata
fasa pertama pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Sabah akan dilancarkan pada suku
pertama tahun depan.

Menurut beliau pembinaan lebuh raya sepanjang 2,239 kilometer itu yang akan
menjadi penghubung bandar-bandar utama di Sabah dan Sarawak adalah sebagai
memenuhi komitmen tinggi Kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan infrastruktur
dan ekonomi di Sabah.

“Baru minggu lepas Majlis Ekonomi telah meluluskan struktur orde baharu
Lebuhraya Pan Borneo di Sabah,” kata beliau semasa berucap di Seminar Integrasi
Nasional anjuran bersama Jabatan Perpaduan Negara dan Institut Strategi dan
Kepimpinan Asia (ASLI) hari ini.

Najib berkata projek berkenaan, apabila siap kelak, akan merangsang
perhubungan antara Sabah, Sarawak dan wilayah-wilayah di negara jiran seperti
negara Brunei Darussalam dan Indonesia.

Lebuhraya Pan Borneo merupakan salah satu projek yang dijanjikan Barisan
Nasional dalam manifesto pilihan rayanya pada Pilihan Raya Umum 2013.
-Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY