WASHINGTON, 12 April – Perintah…… Pihak Biro Siasatan Persekutuan (FBI) mendapat perintah mahkamah untuk memantau komunikasi penasihat calon presiden ketika itu, Donald Trump, sebagai sebahagian siasatan mengenai kemungkinan kaitan Russia dengan kempen.

FBI dan Jabatan Kehakiman memperoleh waran menyasarkan komunikasi penasihat dasar luar Trump, Carter Page, selepas meyakinkan hakim Mahkamah Pemantauan Perisikan Luar bahawa ada alasan kukuh mempercayai Page bertindak sebagai ejen kuasa luar, yang mana dalam kes berkenaan, Russia.

Page berulang kali menafikan sebarang salah laku dalam urusannya dengan kempen Trump atau Russia.

Ia adalah bukti paling jelas setakat ini bahawa FBI ada alasan mempercayai penasihat kempen Trump berhubung dengan ejen Russia.

FBI dan jawatankuasa kongres menyiasat sama ada Russia cuba mempengaruhi pilihan raya bagi memastikan kemenangan Trump, dengan menggodam emel operasi Demokrat dan menyiarkan maklumat memalukan, atau kemungkinan berpakat dengan rakan Trump.

Russia menafikan dakwaan itu, yang juga turut disangkal Trump.

Page tidak dituduh melakukan sebarang jenayah, dan tidak jelas sama ada Jabatan Kehakiman mungkin akan mengenakan dakwaan terhadapnya atau individu lain berkaitan dakwaan campur tangan Russia pada pilihan raya presiden 2016. – WD MY