KUALA LUMPUR, 20 Dis – Peneraju….. Kerajaan mahu Felcra Berhad menjadi satu
daripada peneraju industri jaminan bekalan makanan negara, khususnya dalam
pengeluaran ayam, daging dan hasil tanaman, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana menteri percaya dengan kekuatan agensi itu, ia dapat memberi
sumbangan ketara dalam mengurangkan import hasil makanan secara lebih efisien
dan sistematik.

“Nilai import bahan makanan pada tahun lepas meningkat melebihi RM45.4
bilion dan disebabkan itu kerajaan mahu Felcra Berhad menjadi satu daripada
pengeluar utama industri jaminan bekalan makanan negara,” katanya semasa
merasmikan sambutan 50 Tahun Felcra di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di
sini, hari ini.

Sempena menjangkau usia 50 tahun, perdana menteri mahu agensi itu terus
mengorak langkah ke hadapan dengan memberi lebih perhatian terhadap program
meningkatkan pendapatan pesertanya.
Beliau berkata antara yang telah dilakukan adalah penubuhan tabung projek
pinjaman ekonomi sejak 2009 untuk usahawan yang ingin mengembangkan perniagaan
masing-masing dengan dana sebanyak RM6 juta.
Perdana menteri berkata sehingga kini, sebanyak 1,100 usahawan telah
mendapat manfaat daripada tabung pusingan itu dan antara sektor yang diceburi
adalah industri makanan, ternakan, akuakultur dan pembinaan.
Beliau berkata Felcra Berhad turut bersetuju menyediakan dana tambahan
sebanyak RM5 juta untuk tabung berkenaan mulai tahun depan bagi memperkasa
ekonomi Bumiputera dan meningkatkan pendapatan peserta.
Najib dalam ucapannya turut menyentuh kerjasama dengan Sime Darby
Plantation Sdn Bhd dalam bidang perladangan, kerjasama dengan Perbadanan Tabung
Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan kerjasama dengan institusi pengajian
tinggi awam dalam projek tanaman mangga Harum Manis.
Katanya, kerjasama dengan Sime Darby Plantation Sdn Bhd akan bermula tahun
depan antaranya melibatkan pembekalan input pertanian seperti benih dan
anak pokok serta pembekalan dan sewa beli alatan pertanian dan jentera
perladangan.
“Felcra Berhad juga menjalin kerjasama dengan Universiti Malaysia Perlis
Holdings Berhad yang mengaplikasi sepenuhnya kaedah teknologi terkini iaitu
teknologi rumah hijau, yang didorong faktor permintaan tinggi terhadap mangga
Harum Manis,” jelas Najib. – WD MY