BENTONG, 4 Feb – LANCAR….. Felda melakar satu lagi sejarah penting dengan pelancaran Felda 2.0 di Felda Lurah Bilut di sini, hari ini iaitu satu inisiatif untuk mentransformasi dan memberi wajah baharu kepada 317 kawasan tanah rancangan Felda di negara ini.

Inisiatif baharu yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu bukan sahaja memberi fokus untuk mewujudkan komuniti Felda yang pintar, mampan, dan berdaya tahan tetapi juga lestari dari segi ekonomi serta alam sekitar.

Felda 2.0 adalah satu inisiatif menekankan strategi atau pendekatan ‘terbuka dan terhubung’ yang membawa lonjakan dalam komuniti Felda bersesuaian dengan kemudahan-kemudahan teknologi semasa dan memenuhi aspirasi masa depan.

Felda Lurah Bilut dipilih menjadi perintis kepada program berkenaan berikutan ia signifikan kepada sejarah Felda kerana kawasan penempatan yang dibuka pada 1958 itu merupakan rancangan pembangunan tanah secara berkelompok untuk pertanian yang pertama dibuka di negara ini.

Lembah di Banjaran Titiwangsa itu telah melalui pembangunan yang pesat dengan pelbagai kemudahan, malah pada November tahun lepas, ia turut diiktiraf sebagai tanah rancangan pertama menjadi bandar pintar menerusi projek Lembah Digital Bilut, yang merupakan projek perintis di bawah inisiatif Felda 2.0.

 

Bagi tahun ini, sebanyak lima tanah rancangan Felda akan dipilih untuk ditransformasikan menerusi inisiatif itu dan 10 lagi tanah rancangan akan dipilih bagi tahun depan.

Felda memperuntukkan RM10 juta bagi mentransformasi setiap tanah rancangan yang dipilih serta turut menarik penyertaan pelbagai agensi lain termasuk pihak swasta.

Di majlis yang sama, Najib juga melancarkan projek Lembah Digital Bilut yang bakal memberi manfaat kepada lebih 60,000 penduduk Felda Lurah Bilut untuk menikmati taraf kehidupan sama seperti di bandar bermula dengan dengan pembangunan infrastruktur serta modal insan.

Projek itu juga membolehkan penduduk menggunakan Internet berkelajuan tinggi, iaitu sehingga sehingga 100Mbps, sekali gus membuka peluang ekonomi, khususnya dalam aspek usahawan digital, pertanian moden serta ekopelancongan kepada penduduk setempat.

Terdahulu, perdana menteri turut meluangkan masa melawat projek infrastruktur yang telah dinaik taraf dan dibangunkan di tanah rancangan itu iaitu Kedai D’ Mart, Titian Razak, Ruang Kerja Bersama serta Mural Gergasi.

Beliau turut menyerahkan replika cek Insentif Peneroka Sifar Hutang Pembangunan dan Tanam Semula berjumlah RM47.17 juta yang yang merupakan satu insentif membantu peneroka. – WD MY