ALOR SETAR, 7 Sept – Nafi……. Kumpulan FELDA menafikan kejadian sembilan warga asing yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang dibongkar polis semalam, berlaku dalam kawasan pentadbirannya.

Pegawai Perhubungan Awam dan Studio FELDA, Masheema Zulkefli, berkata FELDA Kampung Charok Keladi di Pokok Asam, dekat Pendang yang dinyatakan sebagai lokasi kejadian seperti dilaporkan dalam semua media cetak dan media dalam talian itu tidak wujud.

Katanya, lokasi dinyatakan itu tidak tersenarai dalam urus tadbir FELDA Wilayah Alor Setar kerana hanya 13 kawasan saja disenarai bagi wilayah ini.

“Kawasan itu termasuk FELDA Batu Lapan, Bukit Tangga, Bukit Tembaga, Chuping, Guar Napai, Laka Selatan dan Mata Air, Rimba Mas, Sungai Tiang, Teloi Kanan, Teloi Timur, Gunung Bongsu serta Lubok Merbau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Polis Kedah dalam sidang media di sini, semalam, mengumumkan kejayaan menyelamatkan sembilan mangsa pemerdagangan manusia dalam serbuan di sebuah rumah di FELDA Kampung Charok Keladi, dekat Pendang, di sini, dalam serbuan jam 1.30 pagi.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff, berkata semua mangsa warga asing berusia 22 tahun hingga 45 tahun ditemui dalam keadaan kelaparan dan dirantai kaki serta tangan di dalam rumah berkenaan.

Polis juga menahan enam suspek termasuk seorang pelajar Tingkatan Tiga dan seorang warga Myanmar serta Bangladesh berusia antara 15 tahun hingga 38 tahun yang dipercayai menculik warga asing bagi memperoleh wang tebusan RM15,000 seorang.

Masheema berkata, pihaknya terpaksa memperbetulkan fakta terbabit selepas menerima pelbagai pertanyaan mengenai perkara terbabit.

“Kami memandang serius kejadian ini sekiranya berlaku di kawasan FELDA dan tidak akan melindungi mana-mana individu terbabit sehingga menyebabkan nama baik agensi ini terjejas,” katanya. – WD MY

LEAVE A REPLY