JOHOR BAHRU, 16 Okt – Kawasan muara sungai dan pesisiran pantai sekitar Johor, masih terkawal susulan ramalan fenomena air pasang besar.

Menurut Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor, Mejar (PA) Nurrul Azle Ab Jabar, berkata sehingga jam 9 pagi tadi, keadaan di beberapa daerah negeri ini masih seperti biasa.

Bagaimanapun, katanya, beberapa daerah berisiko masih diberi keutamaan dan anggota serta pegawai terbabit di kawasan berkenaan sudah diarah meningkatkan pemantauan secara berterusan.

“Anggota sudah diarah meningkatkan pemantauan di kawasan berisiko iaitu di daerah Muar, Batu Pahat, Pontian, Johor Bahru, Kota Tinggi dan Mersing, dengan penambahan anggota bertugas 60 orang.

“Tugas pemantauan anggota bertugas di kawasan berkenaan bermula hari ini sehingga 21 Oktober,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Berdasarkan laporan APM, kawasan Johor Bahru mencatat bacaan paras 3.8 meter pada jam 11.52 malam tadi, Muar (2.5 meter), Mersing (2.56 meter), Pontian (3.2 meter) dan Batu Pahat (3.1 meter). – WD MY