KUALA PERLIS, 11 Okt – Air Pasang…… Pesisir pantai di Kuala Perlis perlu peka perkembangan cuaca dan mematuhi arahan pihak berkuasa berikutan fenomena air pasang besar dijangka mencecah paras tertinggi 3.6 meter pada 18 Oktober ini.

Timbalan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Muhammad Yusoff Wazir, berkata paras air laut dijangka berada pada paras tertinggi antara 17 hingga 19 Oktober.

“Sumber Jadual Pasang Surut Malaysia 2016 keluaran Pusat Hidrografi Nasional TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia) menjangkakan semasa tempoh terbabit, paras air pasang tertinggi adalah pada 1.38 pagi, 18 Oktober dan diharap cuaca tidak diburukkan lagi dengan kehadiran angin kencang.

“Yang penting, penduduk perlu bertindak cepat apabila mendapat arahan daripada pihak berkuasa, terutama jika perlu berpindah ke pusat penempatan sementara,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan (LKIM) Perlis, Ismail Ladin, berkata pihaknya telah memaklumkan kepada kira-kira 1,685 nelayan melalui persatuan nelayan di Kuala Perlis dan Kuala Sungai Baru mengenai situasi berkenaan agar mereka mengambil langkah keselamatan.

“LKIM terus memantau keadaan laut. Bagi menahan pukulan ombak dan mengurangkan impak limpahan air, kerajaan telah memasang kawat blok batu disusun membentuk benteng yang berfungsi menyerap tenaga hempasan ombak,” katanya. – WD MY

LEAVE A REPLY