LANGKAWI, 5 Mei – Destinasi….. Pulau Langkawi mengorak langkah untuk menjadi destinasi pilihan peminat motosikal berkuasa tinggi menerusi penganjuran Festival Motosikal Antarabangsa Diraja Langkawi 2017 di Dataran Kompleks Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), bermula 12 Mei ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Datuk Azizan Noordin berkata festival selama tiga hari yang julung kali diadakan itu akan melibatkan lebih 600 motosikal dari Malaysia, Thailand dan Singapura.

“Ia antara 35 aktiviti telah dirancang oleh LADA sepanjang tahun ini untuk menarik lebih ramai lagi pelancong ke Langkawi,” katanya pada sidang media bagi mengumumkan festival berkenaan di Laman Padi.

Sempena festival itu, beliau berkata penunggang motosikal yang terlibat akan mengelilingi pulau ini pada 13 Mei, dalam usaha mencipta rekod baharu untuk aktiviti bermotosikal beramai-ramai paling besar mengelilingi pulau.

“(Festival) ini bukannya aktiviti yang dirancang untuk dianjurkan sekali sahaja, tetapi akan dijadikan acara tahunan dengan mengambil kira kejayaan festival-festival serupa di rantau ini seperti ‘The Phuket Bike Week’ di Thailand,” katanya.

Selain itu, acara sampingan menarik yang akan diadakan semasa festival itu termasuk pertunjukan tatu bermotosikal, persembahan aksi lasak bermotosikal, pameran dan persembahan hiburan.

Azizan berkata penganjuran festival itu juga dapat membuka aktiviti perniagaan baharu di Langkawi seperti penjualan barangan cenderamata jenama-jenama motosikal terkenal dan pengenalan aktiviti permotoran berkuasa tinggi dalam pakej pelancongan.

Beliau berkata festival itu dijangka menarik kehadiran lebih 3,000 pemilik dan peminat motosikal berkuasa tinggi dan mereka akan menyumbang kepada ekonomi setempat dengan berbelanja sepanjang berada di pulau peranginan itu.

“Kebanyakan pemilik motosikal berkuasa tinggi ini adalah dalam kalangan mereka yang berkemampuan dari segi kewangan dan program ini boleh kita anggap untuk menarik lebih ramai pelancong mewah,” katanya.

Beliau berkata pengusaha pelancongan dan hotel perlu mengambil peluang tersebut untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik bagi menjaga imej Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa. – WD MY