KUALA LUMPUR, 29 OGOS – RUGI….  Syarikat FGV Holdings Bhd menyaksikan kerugian bersihnya meningkat kepada RM52.2 juta pada suku kewangan kedua (Q2) berakhir 30 Jun 2019 daripada RM23.43 juta suku sama tahun sebelumnya.

Kerugian itu dikaitkan dengan harga minyak sawit mentah (MSM) yang rendah dan juga kerugian dalam sektor gula.

Pendapatan dalam suku dikaji menyusut 4.6 peratus kepada RM3.28 bilion berbanding RM3.44 bilion disebabkan kesan awal pelan transformasi kumpulan itu yang mengakibatkan peningkatan 15 peratus dalam pengeluaran tandan buah segar (FFB) kepada 1.5 juta tan dan peningkatan 19 peratus dalam hasil FFB iaitu 4.76 tan bagi setiap hektar berbanding sebelumnya.

Sementara itu laporan BERNAMA memetik FGV masih berusaha mendapatkan rakan strategik terbaik untuk unit perniagaan gulanya, MSM Malaysia Holdings Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulannya, Datuk Haris Fadzilah Hasan, berkata FGV yang menguasai 51 peratus saham dalam MSM, memerlukan lebih masa untuk mempertimbangkan cadangan yang terbaik, sebelum membuat keputusan tepat untuk kedua-dua entiti.

Dilaporkan sebelum ini bahawa syarikat perladangan itu mengadakan perbincangan dengan empat syarikat untuk menjual sebahagian sahamnya dalam MSM.

“Kami ingin mempunyai lebih banyak pilihan… apa yang jelas kami ingin mendapatkan rakan kongsi strategik untuk mengukuhkan perniagaan huluan dan pasaran eksport.

Bagi harga MSM pada separuh kedua tahun ini, FGV menjangkakan ia berlegar di antara RM2,000 dan RM2,200 satu tan, di sebalik terdapat pemangkin positif seperti prospek eksport yang lebih baik dan peningkatan permintaan terhadap biodiesel.

Haris berkata, harga akan banyak ditentukan oleh peningkatan perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, permintaan tinggi dengan mandat baharu B30 dan B10 di Indonesia dan Malaysia, serta musim perayaan.

“Cukai import yang dijangka dikenakan oleh India juga mungkin memberi kesan terhadap harga di masa depan. – WD MY