PORAC, 24 APRIL – BERBALAH…. Presiden Filipina, Rodrigo Duterte semalam menuntut Kanada supaya mengambil balik bertan-tan sampah yang dihantar secara haram ke Manila atau berisiko ‘perang’, dalam insiden terbaharu yang dibimbangi menjejaskan hubungan dua hala.

Filipina menggesa Kanada mengambil balik sejumlah besar kontena sampah dihantar ke negara itu pada 2013 dan 2014, mendakwa ia mengandungi sisa toksik.

Namun Ottawa berkata, ia tiada kuasa untuk memaksa syarikat persendirian memulangkan semula penghantaran terbabit ke Kanada.

Bercakap kepada pegawai ketika kunjungan ke utara Manila, kawasan dilanda gempa bumi Isnin lalu, Duterte berkata, beliau tidak peduli jika pendiriannya berkaitan isu itu menukarkan kedua-dua negara sebagai musuh.

“Saya mahu sebuah bot disediakan. Saya memberi amaran kepada Kanada, minggu depan mereka perlu membawa keluar sampah atau saya akan belayar ke Kanada dan membuang semula sampah ke sana.

“Saya akan mengisytiharkan perang terhadap mereka,” kata pemimpin lantang itu.

Sampah antara beberapa isu yang menjurus hubungan dingin antara dua negara.

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau menjadi pengkritik paling lantang perang dadah domestik dilancarkan Duterte, yang dipilih pada 2016.

Polis Filipina berkata, mereka membunuh hampir 5,000 orang didakwa penagih dadah dan pengedar yang menentang penahanan dalam tindakan keras itu.

Tahun lalu, Duterte dengan berang membatalkan kontrak tentera bernilai AS$235 juta (RM971.13 juta) untuk membeli 16 helikopter dari pengeluar berpusat di Kanada selepas kerajaan Trudeau meletakkan perjanjian itu dalam semakan kerana rekod hak asasi beliau, -WD MY