SEPANG, 14 april – UGUTAN….. Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung membuat laporan polis terhadap dua individu berhubung fitnah dan ugutan diterima ke atasnya termasuk bunuh melalui laman sosial Facebook (FB).

Laporan berkenaan dibuat oleh beliau di Balai Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 4.08 petang, tadi susulan fitnah dibuat seorang individu sekali gus mendorong seorang individu lain membuat komen ugutan bunuh.

Firdaus mendakwa, kejadian itu disedarinya semalam,ketika berada di Jakarta, Indonesia apabila seorang pemilik akaun bernama Arunakiri Nathan berkongsi status FB beliau.

Katanya, susulan itu, seorang pemilik akaun bernama Pandian Sam kemudian meninggalkan komen menggugut bunuh.

“Tuduhan dan fitnah berterusan daripada seorang pemilik akaun, Arunakiri Nathan menyebabkan ramai individu membenci dan mengugut saya.

“Hasutan yang berterusan menghasut penganut Hindu membenci saya serta melaga-laga di antara penganut agama Hindu dan Islam,” katanya dalam laporan polis berkenaan.

Justeru, laporan polis dibuat kerana merasakan nyawa terancam dengan ugutan bunuh itu.

Selain itu, Firdaus turut membuat laporan terhadap pemilik akaun Arunakiri Nathan berhubung kenyataan berbaur hasutan, provokasi serta fitnah yang boleh mendatangkan ancaman bahaya.

Ketika ditemui, Firdaus berkata, fitnah dan ugutan yang diterima tidak menggugat usaha dakwahnya selain menyifatkan, kedua-dua individu terbabit tidak mewakili pertubuhan Hindu berdaftar di negara ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah ketika dihubungi berkata, beliau mengesahkan kedua-dua laporan itu dibuat di Balai Polis Bangunan Terminal Utama (MTB) KLIA.

“Kita rujuk ke Wangsa Maju kerana kes berkenaan disiasat di sana berikutan satu laporan polis sudah dibuat lebih awal di Wangsa Maju,” katanya. – WD MY