KUALA LUMPUR, 11 Dis – Fitnah……Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin surat layang yang tersebar baru-baru ini, adalah fitnah pihak tertentu untuk memecah-belahkan dua kepemimpinan tertinggi negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata, mereka cemburu dengan keakraban hubungan yang wujud antaranya bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sejak 1987.

“Saya yakin fitnah itu bukan hanya kerana UMNO dan Barisan Nasional (BN) teguh, tapi cemburukan hubungan rasmi dan peribadi saya bersama Perdana Menteri yang bermula ketika beliau berjawatan Menteri Belia dan Sukan.

“Cemburu itu menyebabkan mereka mula cuba melagakan kedua-dua pemimpin demi mencapai matlamat.

“Ada tiga kesalahan besar yang dilakukan. Pertama, mereka melakukan pemalsuan terhadap tanda tangan saya, kedua ialah menggunakan bahan rasmi Kerajaan Persekutuan dan ketiga, menimbulkan perkara yang boleh membawa kepada fitnah,” katanya.

Ahmad Zahid yakin dalang kesalahan berkenaan akan menerima akibat menerusi peruntukan undang-undang yang ada.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penutup Perhimpunan Agung Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) yang ke-24, di sini, hari ini.

Hadir sama IPF, Datuk M Sambanthan dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Baru-baru ini, beberapa lampiran ‘surat layang’ mengandungi senarai Kabinet baharu dengan Ahmad Zahid sebagai Perdana Menteri tersebar menerusi laman sosial.

Surat berkenaan antara lain menggesa anggota Kabinet mendesak Najib meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri secepat mungkin, malah undi tidak percaya di Dewan Rakyat akan diusulkan jika tuntutan itu tidak dituruti.

Ahmad Zahid turut mengingatkan kepemimpinan BN supaya bersedia menghadapi strategi pihak tertentu yang melemparkan fitnah.

“Semakin hampir dengan pilihan raya umum, semakin banyak fitnah dicipta yang mana bukan saja dilemparkan kepada parti komponen BN tetapi juga individu dalam kepemimpinan tinggi,” katanya. – WD MY