KUALA LUMPUR, JULAI 3: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) membantah pelarasan surcaj elektrik baru-baru ini, dengan menyatakan ia dimaklumkan dalam tempoh yang singkat dan pemain industri, terutamanya pengeksport tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk menyelaraskan dengan kos tambahan.

Presidennya Datuk Soh Thian Lai berkata pemilik perniagaan, terutamanya pengeksport yang terma kontrak telah dipersetujui sebelum ini, perlu berdepan dengan bil elektrik yang lebih tinggi dari­pada biasa susulan pelaksanaan mekanisme kos tidak berimbang (ICPT).

“ICPT seharusnya disederhanakan bagi mengambil kira kenaikan harga gas asli ketika ini dengan menghapuskan rebat tanpa me­ngenakan sebarang surcaj.

“Kenaikan kos elektrik ditanggung sektor pembuatan dianggarkan lebih tinggi berbanding enam peratus memandangkan rebat yang dinikmati dalam tempoh enam bulan sebelumnya,” kata­nya kepada Bernama.

Pada Jumaat, Tenaga Nasional Bhd mengumumkan bermula 1 Julai, 2018, pelanggan komersial dan perniagaan perlu membayar surcaj 1.35 sen/kWj berikutan kos penjanaan dan bahan api yang tinggi

Purata tarif asas kekal tidak berubah pada 39.45 sen/kWj

Bagaimanapun, disebabkan kos penjanaan dan bahan api tinggi dari Januari hingga 30 Jun, 2018, kos tambahan RM698.19 juta atau surcaj ICPT 1.35 sen/kWj, akan diserap menerusi mekanisme ICPT.

Pelarasan itu, bagaimanapun, tidak melibatkan pelanggan isi rumah dengan penggunaan bulanan di bawah 300/kWj.

Mekanisme ICPT memboleh­kan TNB menyerapkan perubahan dalam kos bahan api dan penjanaan kepada tarif elektrik pengguna setiap enam bulan.

Ditanya mengenai kesan mutlaknya , Soh berkata ia akan berbeza mengikut kategori dan penggunaan elektrik setiap syarikat individu dan menggesa kerajaan mengekalkan tarif elektrik pada masa ini disebabkan banyak bebanan kos kawal selia sedia ada.-MY WD