KUALA BERANG, FEB 24 – FOKUS…Malaysia menumpukan capaian internet dapat diakses rakyat di seluruh negara termasuk di kawasan luar bandar, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari.

Beliau berkata dengan itu kadar kelajuan perkhidmatan internet di Malaysia tidak boleh dibandingkan dengan negara lain di rantau ini. Ini kerana ia berikutan pendekatan yang digunakan kerajaan masing-masing dalam menyediakan perkhidmatan itu berbeza antara satu sama lain.

“Berbeza dengan negara Vietnam (contohnya), ia (capaian internet) lebih bertumpu ke bandaraya Ho Chi Minh…begitu juga dengan Singapura yang mempunyai jumlah penduduk tidak sama dengan Malaysia. Rangkaian jalur lebar dan 4G di Malaysia difokus secara menyeluruh ke seluruh negara,” katanya.

Anggota Parlimen Hulu Terengganu mengulas artikel yang disiarkan Free Malaysia Today yang menyatakan Malaysia mempunyai rangkaian 4G di semua tempat tapi di antara yang paling perlahan.

Kajian dilakukan oleh Open Signal, sebuah syarikat pakar mengenai rangkaian pemetaan tanpa wayar itu menyatakan walaupun taraf 4G negara mencapai 74.88 peratus tetapi kelajuannya hanya 14.83 Mbps.

Jailani berkata Malaysia melaksanakan program pembangunan jalur lebar iaitu Program Perkhidmatan Sejagat (USB) yang dana disumbangkan oleh pihak pemberi perkhidmatan dan dikendalikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang berperanan mengenal pasti lokasi terutamanya di kawasan luar bandar yang kurang liputan internet.

Beliau berkata negara turut memperluaskan rangkaian jalur lebar kepada penduduk berpandukan jumlah penduduk di sesuatu kawasan dengan memastikan dalam satu kilometer persegi yang mempunyai 80 orang penduduk perlu diliputi infrastruktur dan rangkaian telekomunikasi.

Selain itu, katanya pihak syarikat telekomunikasi menerusi syarat yang telah dipersetujui perlu menyediakan infrastruktur bagi memastikan di setiap kawasan di Malaysia akan dapat kemudahan capaian internet.

“Kami sedia maklum mengenai komen yang diberi dan saya ingin tekankan proses naik taraf daripada 3G kepada 4G sedang berlangsung ketika ini dan meliputi semua rangkaian di seluruh Malaysia.

“Disasarkan pada tahun 2025 kadar jalur lebar akan berada pada tahap 95 peratus berbanding 84 peratus sekarang,” katanya. – MY WD