KUALA LUMPUR, 25 Jan – FOKUS….. Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata aspek pemanduan selamat oleh penunggang motosikal dan mengurangkan kadar kemalangan maut membabitkan kelompok itu menjadi fokus kerajaan sepanjang Kempen Keselamatan Jalan Raya 2018.

Langkah ini diambil berikutan statistik kematian membabitkan penunggang motosikal terus merekodkan peningkatan setiap tahun.

Liow berkata, perlu ada usaha lebih serius oleh pelbagai pihak, termasuk agensi kerajaan serta masyarakat bagi meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan menunggang motosikal, bukan saja kepada kenderaan tapi penunggangnya.

“Tahun ini memang fokus kempen kita adalah kesedaran dalam kalangan motosikal kerana mengikut statistik kemalangan maut 2016, 62 peratus daripadanya membabitkan motosikal.

“Kita tidak boleh ambil ringan isu kemalangan jalan raya sebab itu disarankan semua agensi kerajaan tubuh unit keselamatan jalan raya supaya mereka boleh ingatkan satu sama lain dan bantu rakyat adakan kempen kesedaran,” katanya selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya 2018.

Statistik pada 2016 menunjukkan, seramai 7,152 kemalangan maut direkodkan.

Daripada jumlah itu, 4,082 yang maut dari kalangan penunggang motosikal. Rekod itu menunjukkan peningkatan setiap tahun termasuk tahun lalu.

Tiong Lai berkata, pihaknya juga mahu semua pihak menanamkan sikap positif dalam kalangan penunggang motosikal untuk meningkatkan sifat saling bertolak ansur dan hormat-menghormati.

Sementara itu, beliau menjelaskan kementeriannya akan melancarkan Ops Bersepadu dan Ops Selamat bermula 9 Februari hingga 23 Februari ini di seluruh negara, bersempena Tahun Baharu Cina.

Dalam pada itu beliau berkata, kementeriannya juga sedia meneliti secara serius cadangan untuk tidak membenarkan remaja memiliki lesen B (motosikal berkuasa tinggi) jika terbukti golongan itu banyak terbabit dalam kemalangan membabitkan motosikal kuasa tinggi.

“Saya rasa ini cadangan baik. Sekarang kita ada lesen B2 yang boleh dimiliki remaja berusia 16 tahun.

“Ketika ini memang tiada tindakan lagi, sebab kita dapati mereka yang berusia 16 tahun tidak ramai menunggang motosikal berkuasa tinggi.

“Kalau statistik menunjukkan jumlahnya meningkat, cadangan ini memang kita ambil serius tapi belum ada keputusan setakat ini. Kena lihat cadangan dulu dan kajian akan dibuat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya. – WD MY