JOHOR BAHRU, 13 Okt – SENJATA TIDAK MEMBAWA MAUT….. Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) akan diperkukuhkan lagi menerusi penggunaan senjata tidak membawa maut, khususnya dalam operasi membabitkan rusuhan dan perhimpunan haram.

Komandernya, Senior Asisten Komisioner Wan Abdullah Ishak, berkata penggunaan senjata itu adalah lebih praktikal berbanding gas pemedih mata yang boleh menjejaskan keselamatan perusuh atau peserta perhimpunan yang membabitkan kanak-kanak dan wanita.

“Malaysia adalah negara kedua selepas Singapura di Asia yang menggunakan senjata ini, yang mana ia boleh mengurangkan jumlah anggota atau pegawai terbabit operasi tetapi dengan cara lebih berkesan.

“Ini kerana senjata ini lebih mudah untuk disasarkan kepada golongan tertentu seperti perusuh yang agresif tanpa memberi kesan kepada yang lain, selain selamat digunakan. Kami juga akan menggunakannya pada perhimpunan Bersih 5.0 yang dijadualkan pada 19 November ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutupan Kursus Pengendalian Senjata Non Lethal Weapon (Pepper Ball) di Pusat Latihan Polis Marin, Tampoi di sini, hari ini.

Wan Abdullah berkata, ketika ini terdapat tiga kategori senjata jenis itu yang digunakan iaitu Variable Kinetic System, Tactical Marking Pistol dan Flash Launcher dalam menangani situasi kecemasan tertentu yang tidak memerlukan penggunaan senjata api.

Katanya, setakat ini sebanyak 140 unit Tactical Marking Pistol dan masing-masing lima unit Variable Kinetic System dan Flash Launcher diperoleh pihaknya dan jumlah itu akan ditambah mengikut keperluan bagi kegunaan 2,500 anggota FRU di seluruh negara. – WD MY