SHAH ALAM, 24 MAc – Masih Mencari….. Rakan strategik asing (FSP) bagi PROTON Holdings Bhd (PROTON) masih diteruskan, kata syarikat induknya, DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM).

Menurut DRB-HICOM, seperti diumumkan pada Februari lalu, syarikat menyasar untuk menamatkan proses penilaian menjelang tamatnya suku kedua tahun ini.

“Kami ingin mengesahkan semua pembida masih dalam saingan untuk menjadi FSP PROTON. Kami sudah mengumumkan proses mencari FSP adalah rumit dan DRB-HICOM mahu memastikan FSP yang dipilih akan menguntungkan semua pihak.

“Setiap rundingan adalah usaha kedua-dua pihak dalam memastikan sinergi dengan pelan masing-masing.

“Sudah menjadi proses biasa dalam mana-mana rundingan perniagaan, yang mana kedua-dua pihak membuat cadangan yang berasingan dan berbeza, bergantung kepada apa yang diminta dan dicadangkan oleh pihak kedua,” katanya menerusi kenyataan.

Kenyataan itu berkata, ia akan meneruskan proses penilaian dan membawa masuk FSP yang akan memperbaiki kedudukan PROTON dan yang akan mendapat manfaat daripada keupayaan dan kebolehan PROTON.

“Kami akan membuat pengumuman mengenai ini setelah proses ini tamat kelak,” katanya. – WD MY