KUALA LUMPUR, 4 Sept – LANTIK……Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu menggantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar yang secara rasmi bersara hari ini.

Penyerahan tugas yang berlangsung pagi ini disaksikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Tan Sri Khalid Abu Bakar, Pusat Latihan Polis (PULAPOL).

Turut berlangsung adalah majlis serah tugas jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis, (PERKEP) oleh Puan Sri Imran Ibrahim kepada penggantinya Datin Seri Azizah Hamdi.

Khalid yang juga Ketua Polis Negara ke-10 memulakan tugas sebagai inspektor pada 5 Disember 1976.

Antara jawatan penting yang pernah disandang beliau adalah Ketua Polis Negeri Sembilan (2005), Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (2006),Ketua Polis Selangor (2007), Pengarah Keselamatan dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (2010), dan Timbalan Ketua Polis Negara (2011).

Beliau seterusnya dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada 17 Mei 2013 menggantikan Tan Sri Ismail Omar yang tamat perlantikan secara kontrak. – WD MY