LONDON, 4 NOV – GAGAL….  Perdana Menteri Britain, Boris Johnson hari ini memohon maaf kerana tidak membawa Britain meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) menjelang 31 Oktober manakala pemimpin utama Brexit, Nigel Farage mengumumkan tidak akan bertanding pada pilihan raya umum bulan hadapan.

“Ia adalah sesuatu yang amat dikesali,” katanya kepada Sky News, sebelum mengkritik Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kerana menyatakan bahawa perjanjian Brexit bersama Brussels akan menghalang kerjasama perdagangan AS/Britain pada masa akan datang.

“Saya tak mahu ‘menyerang’ beliau namun saya ingin nyatakan bahawa beliau sudah melakukan kesilapan.

“Siapa sahaja yang melihat kepada perjanjian itu setuju bahawa ia adalah sesuatu yang hebat. Ia membenarkan kami untuk memiliki kawalan sepenuhnya ke atas tarif,” katanya.

Trump pada Khamis lalu memberitahu Farage bahawa ada beberapa perkara di dalam perjanjian itu yang tidak boleh diubah.

Farage hari ini memberitahu, tidak akan bertanding merebut jawatan Ahli Parlimen pada pilihan raya umum bulan depan namun parti pimpinannya akan mencabar Tories di seluruh negara.

“Adakah saya akan mencari kerusi dan memastikan ada memegang jawatan di Parlimen? Atau apakah saya hanya akan menyokong 600 calon lain? Saya memutuskan perkara kedua adalah yang paling tepat,” katanya. – WD  MY