KOTA KINABALU, 20 Jan – Penjenayah bukan saja gagal meragut seorang wanita, malah kenderaan curi dinaiki mereka terbabas dan merempuh tembok di hadapan Kompleks Suria Sabah, di sini, pagi tadi.

Kejadian berlaku jam 7.30 pagi itu, kedua-dua suspek lelaki terbabit yang menaiki sebuah PROTON Iriz, bertempiaran lari bagi mengelak ditahan.

Sebelum kejadian, suspek mengekori seorang wanita sebelum meragut dan menarik mangsa ke dalam kenderaan mereka lalu memecut, namun tidak jauh dari lokasi berkenaan, kenderaan itu terbabas dan merempuh tembok konkrit berhampiran kompleks beli-belah terbabit.

Berikutan itu, kedua-dua suspek keluar dari kenderaan lalu melarikan diri, manakala wanita itu yang tidak cedera membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Pada masa sama, sebuah pacuan empat roda turut terbalik dipercayai terbabas selepas mengelak PROTON Iriz dinaiki suspek mengakibatkan pemandu serta penumpangnya cedera.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata siasatan lanjut masih dijalankan.

“Siasatan awal mendapati kereta digunakan suspek disyaki kenderaan curi dan usaha mengesan mereka giat dijalankan,” katanya ketika dihubungi hari ini. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY