PUTRAJAYA,  DISEMBER 2: GAJI.. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menolak kenaikan gaji kerana berpendapat ia antara faktor kenaikan kos sara hidup.

Memetik laporan portal Free Malaysia Today, Dr Mahathir percaya gaji tidak wajar dinaikkan dengan kerap.

“Anda naikkan gaji, sektor swasta akan ikut sekali, dan kos semua benda akan naik. Bukan begitu caranya mengurus organisasi,” katanya.

Beliau berkata, penggantinya dalam kerajaan terdahulu telah menambah bilangan pekerja kepada 1.6 juta orang berbanding 1 juta ketika pengundurannya pada 2003.

Katanya, beban itu kini diwariskan kepada kerajaan PH.

“Tambahan sebanyak 600,000 gaji untuk dibayar, dan mereka naikkan gaji kadang-kadang dua kali setahun. Mula-mula 10 peratus dan kemudian 10 peratus lagi,” katanya.

Dr Mahathir berkata, Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang mengambil alih pentadbiran kerajaan pada 2003, dan Datuk Seri Najib Tun Razak memburukkan lagi beban itu dengan menaikkan gaji penjawat awam dalam usaha untuk ‘membeli kesetiaan mereka’.

“Apa yang mereka buat adalah beli kesetiaan penjawat awam dengan menaikkan gaji mereka, kadang-kadang sebanyak 25 peratus. Dari mana datangnya wang untuk itu? Anda dapat wang itu dengan mengecilkan belanja pembangunan.

“Anda berkata perkhidmatan awam tidak menjadi lebih cekap walaupun saiznya bertambah 60 peratus. Jadi produktiviti tetap sama, bukannya lebih baik,” katanya.-MY WD