JOHOR BAHRU, 21 Jan – RASMI….. Usaha untuk mengabadikan kejayaan Jepun layak ke pentas Piala Dunia Perancis 1998 menjadi kenyataan selepas Galeri Bolasepak Johor-Jepun di Stadium Larkin dibuka secara rasminya semalam.

Perasmian galeri disempurnakan oleh Presiden Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim dan turut disaksikan oleh Duta Jepun ke Malaysia, Dr Miyagawa Makio, Pengarah Antarabangsa Persatuan Bolasepak Jepun (JFA), Maruyama Takato dan bekas pemain Jepun, Jo Shoji.

Tunku Aminah berkata, dengan pembukaan galeri yang diusahakan oleh Persatuan Persahabatan Johor dan Jepun (JJFA) bakal meningkatkan lagi hubungan terutama aspek pembangunan bola sepak membabitkan Johor dan Jepun .

“Sejarah sekali lagi tercipta di Johor yang mendapat pengiktirafan dari Jepun dengan pembukaan Galeri Bolasepak Johor-Jepun malah ia juga adalah sambutan 20 tahun kejayaan Jepun layak ke Piala Dunia 1998 di Perancis.

“20 tahun lalu, Stadium Larkin menjadi tuan rumah perlawanan antara Jepun dan Iran bagi kelayakan ke Piala Dunia. Paling menarik perlawanan itu disaksikan oleh lebih 10,000 penyokong Jepun yang menyaksikan perlawanan berkenaan.

“Kini Stadium Larkin sudah menjadi tuan rumah kepada skuad JDT bagi mengharungi saingan Piala AFC dan menjadi platform terbaik untuk mendapat pengiktirafan di rantau Asia Tenggara dan seluruh dunia,” kata Tunku Aminah.

Usaha untuk mewujudkan galeri berkenaan mendapat perkenan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan ia juga mengeratkan lagi hubungan antara Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) untuk bekerjasama dengan JFA dalam program pembangunan bola sepak.

Galeri seluas 120 meter persegi berkonsepkan ‘From Larkin to the world’ dan turut menggunakan konsep Samurai Biru dan warna rasmi skuad Harimau Selatan serta hiasan dalaman konsep laut sebagai simbolik hubungan rapat antara Johor dan Jepun.

Pengasas JJFA, Koichi Hiroi yang bertanggung jawab untuk mewujudkan galeri berkenaan turut mengadakan klinik bola sepak yang dikendalikan penjaring gol kemenangan yang membawa Jepun layak ke Piala Dunia Perancis iaitu, Shoji.

“Seramai 100 pelajar yang membabitkan 50 pelajar dari Jepun dikalangan pelajar sekolah antarabangsa dan 50 pelajar dari sekolah sekitar Johor Bahru dan dan Pasir Gudang menyertai klinik bola sepak berkenaan,” kata Hiroi. – WD MY