JOHOR BAHRU., 19 Mei – Gali….. Pihak polis mengali semula kubur pelajar tahfiz, Arwah Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi, 11, yang meninggal dunia pada 26 April lalu.

Ibu saudaranya, Dzuraidah Ahmad, berkata proses berkenaan bermula kira-kira jam 3 petang semalam di Tanah Perkuburan Islam FELDA Bukit Aping, Kota Tinggi dekat sini.

“Memang benar kubur Thaqif digali semula petang tadi dengan disaksikan beberapa ahli keluarga bagi membolehkan sampel kaki Allahyarham diambil untuk tujuan siasatan lanjut.

“Selain pihak hospital, polis dan pihak mahkamah turut berada di lokasi ketika proses menggali kubur arwah dilakukan, ” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ashmon Bajah ketika dihubungi mengesahkan proses berkenaan yang dilakukan jam 3 petang semalam.

“Proses ini dibenarkan oleh mahkamah mengikut Seksyen 335, Kanun Acara Jenayah bagi tujuan siasatan lanjut kes berkenaan,” katanya.

Mohamad Thaqif dikatakan dipukul dengan paip getah pada tapak kakinya sehingga menyebabkan kecederaan yang mana kedua-dua belah kakinya dipotong pada 21 April lalu, dipercayai akibat jangkitan kuman.

Tangan kanannya yang turut dipercayai dijangkiti kuman sepatutnya dipotong bagi menyelamatkan nyawanya pada pagi 26 April tetapi ditangguhkan berikutan keadaan jantungnya tidak stabil sebelum mangsa disahkan meninggal dunia jam 2.05 petang di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru. – WD MY