KUALA LUMPUR, NOVEMBER 25: ICERD…Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) mendesak Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan untuk meletakkan jawatan selepas didakwa gagal melaksanakan janji berkaitan PTPTN.

Antara janji kerajaan ialah peminjam PTPTN membuat pembayaran balik apabila gaji melebihi paras RM4,000.

Presiden Gamis, Muhammad Faizuddin Mohd Zai, berkata desakan itu dibuat selepas mendapati alasan yang diberikan tidak munasabah termasuk keadaan ekonomi negara tidak stabil.

“Kalau betul dakwaan itu (ekonomi negara tidak stabil), bagaimana menteri masih bergaji berpuluh ribu.

“Pemimpin kerajaan baharu mendapat gaji melebihi daripada keperluan hidup, sepatutnya mereka fokus baiki sistem pendidikan negara bukannya mengumpul kekayaan.

“Kita menentang sistem yang menguntungkan orang kaya dan menekan orang miskin,” katanya ketika ditemui pada Himpunan Tuntut Janji PTPTN, di Menara PTPTN, Jalan Yap Kwan Seng di sini, semalam.

Terdahulu, lebih 100 mahasiswa berarak sejauh kira-kira tiga kilometer (km) dari pekarangan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek ke menara terbabit.

Beberapa mahasiswa himpunan anjuran Gamis itu dilihat membawa beberapa sepanduk ‘Mahasiswa Ditekan’ dan ‘Kami Ditipu’ sambil melaungkan ‘Tuntut Janji PTPTN’.-MY WD