PUTRAJAYA, 27 Jan – UMUM….. Timbalan┬áPerdana Menteri merangkap Penaung Persatuan Bolasepak PDRM (PDRM FA), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan ganjaran RM500,000 menanti skuad bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya berjaya menjuarai Liga Perdana musim ini.

Perkara itu diumumkan pada majlis pelancaran pasukan PDRM 2018 di Hotel Marriot, IOI Resort malam tadi.

Ahmad Zahid berkata, pengendali The Cops, Zulhamizan Zakaria juga akan diberikan insentif sebanyak RM100,000 jika berjaya menghadiahkan kejuaraan Liga Perdana kepada skuad itu, sekali gus kembali ke Liga Super musim 2019.

“Jika muncul naib juara Liga Perdana, saya akan bagi RM250,000. Saya sahut cabaran ini kepada Zulhamizan dan semua pemain.

“Jadi saya harap semua pemain tidak lepaskan peluang ini untuk mendapatkan bonus (yang diumumkan), ” katanya.

PDRM yang menamatkan Liga Perdana musim lalu di kedudukan kelapan pernah menjuarai liga berkenaan pada 2007 dan 2014.

Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan tidak akan melepaskan mana-mana pihak yang terbabit rasuah dalam bola sepak.

“Sebagai menteri saya akan memastikan tiada seorang pun akan terlepas daripada siasatan dan dakwaan pihak polis.

“Bukan saja pemain dan pegawai pasukan, malah kita tahu bahawa ada dalam kalangan pengadil yang turut bersekongkol dengan bookie.

“Ini bukan tuduhan dan pengadil juga tidak akan terlepas jika ada bukti mereka ambil rasuah. Ini amaran Zahid Hamidi,” katanya. – WD MY