MIAMI, 16 Nov – GANJARAN…. Polis Florida menambah jumlah ganjaran bagi sebarang maklumat berikutan kebimbangan semakin memuncak berhubung pembunuh bersiri selepas empat kes pembunuhan gagal diselesaikan.

Awal kelmarin, seorang lelaki berusia 60 tahun dibunuh sebelum subuh di Tampa, kata polis, di kawasan kejiranan sama tiga lagi ditembak mati antara 9 dan 19 Oktober lalu.

Polis percaya empat pembunuhan itu, yang tidak membabitkan rompakan atau sebarang motif jelas, mungkin berkaitan.

Dengan ganjaran kepada maklumat yang membawa kepada penangkapan dinaikkan kepada AS$91,000 (RM380,000), polis menggesa komuniti turut membantu.

“Saya berharap ganjaran ini mendorong seseorang yang ada kekuatan untuk tampil dan memberitahu kami siapa melakukannya.

“Tidak penting jika ia berkaitan, tetapi saya yakin ia memang ada kaitan,” kata ketua polis, Brian Dugan.

Polis menyiasat berdasarkan beberapa petunjuk dan meneliti rakaman video keselamatan dalam siasatan mereka.

Ditanya sama ada beliau bimbang ada mangsa kelima, Dugan memberitahu wartawan: “Ya. Saya tidak dapat tidur malam. Bagaimana hendak lena?” -WD MY