KUALA LUMPUR, 15 Nov – Gantung Dan Tindakan Displin…… Jika seseorang Guru yang didapati terbabit dengan perhimpunan BERSIH 5 akan dikenakan tindakan disiplin, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau menasihatkan warga pendidik supaya tidak terbabit dengan perhimpunan berkenaan agar mereka tidak dikenakan tindakan, termasuk digantung tugas.

“Jika didapati ada guru terbabit dalam Perhimpunan BERSIH 5, pihak Kementerian Pendidikan akan memanggil untuk siasatan dan tindakan disiplin akan dikenakan.

“Tindakan mengikut tahap keseriusan guru berkenaan pada perhimpunan itu. Antaranya termasuklah digantung tugas,” katanya.

Mahdzir ditemui media selepas menyampaikan ucaptama di Pameran BETT Asia dan Sidang Kemuncak Kepimpinan 2016, hari ini.

Beliau berkata, tindakan disiplin ke atas guru yang terbabit dengan BERSIH bukan sesuatu perkara baharu kerana Kementerian pernah melaksanakannya pada perhimpunan sebelum ini.

Mengenai dakwaan sebuah akhbar berbahasa Cina terdapat sindiket menjual soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016, Mahdzir berkata, laporan polis sudah dibuat dan siasatan sedang dijalankan.

“Kementerian menyerahkan kepada polis untuk memanggil wartawan dan editor akhbar terbabit bagi siasatan dan dakwaan terhadap penjualan set soalan SPM guru,” katanya. – WD MY