SEGAMAT, 7 Jan – Gantung……  Lesen perubatan doktor dan klinik boleh
digantung sekiranya terdapat unsur kecuaian dalam melakukan prosedur berkhatan,
kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
Bagaimanapun beliau berkata siasatan terperinci serta menyeluruh perlu
dilakukan terlebih dahulu terhadap kes komplikasi berkhatan dan tindakan
penggantungan itu akan dibuat sekiranya terdapat bukti mencukupi bahawa berlaku
kecuaian.

“Tindakan kementerian (kesihatan) ada dua iaitu melalui MMC (Majlis
Perubatan Malaysia) adakah tindakan itu (prosedur berkhatan) selaras dengan
profesionalisme kedoktoran. Kalau dia (doktor) tidak sampai standard, kita boleh
ambil tindakan dari segi kecuaian.

“Kedua amalan kesihatan di mana setiap klinik berdaftar mereka ada kewajipan
menyediakan kemudahan yang mencukupi dan menjalankan operasi dengan baik, jika
ada risiko daripada operasi mereka perlu mengawalnya,” katanya kepada media
selepas mengadakan tinjauan di Batu Anam di sini hari ini.
Sebelum ini terdapat dua kes komplikasi berkhatan dilaporkan di Kuala Lumpur
membabitkan dua kanak-kanak lelaki masing-masing berusia sembilan dan 10 tahun,
apabila sebahagian daripada alat sulit mereka dilapor terputus semasa menjalani
prosedur itu.

Dr Subramaniam berkata dua kes komplikasi berkhatan itu sedang dalam
siasatan dan kementeriannya akan mengambil tindakan setelah siasatan selesai.

“Kementerian kita lihat daripada dua tindakan tadi, tetapi kalau pihak
keluarga mahu ganti rugi dan sebagainya mereka kena ambil kes (bawa kes ke
mahkamah), itu luar bidang kementerian,” katanya.
Ditanya tentang dakwaan terdapat sebuah lagi kes komplikasi berkhatan
berlaku di Selangor, beliau berkata kementeriannya akan menyiasat tentang
dakwaan tersebut.
Katanya kadar kes komplikasi berkhatan adalah rendah di negara ini dan
pernah terjadi pada masa lepas, namun dengan kemajuan teknologi maklumat
terutama media sosial, kes ini disebar dengan luas serta pantas sehingga menjadi
perhatian umum. – WD MY