KUALA LUMPUR, 3 Julai – Pengumuman bahawa Pengerusi MARA Incorporated Sdn Bhd,
Datuk Mohammad Lan Allani dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abd Halim A
Rahim direhatkan daripada tugas buat sementara bagi membantu siasatan berhubung
kontroversi pembelian aset Dudley International House di Melbourne, Australia.

Menurut Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tan Sri Annuar Musa, keputusan itu
yang dicapai dalam mesyuarat khas majlis MARA, berkuatkuasa serta merta bagi menjaga
integriti MARA selain membolehkan siasatan dijalankan dengan telus.

“Ini tidak semestinya bermakna kita telah temui apa-apa kesalahan terhadap
mereka berdua.

“Mereka dilepaskan sementara daripada tugas bagi membolehkan urusan siasatan
dijalankan tanpa sebarang gangguan,” katanya pada sidang akhbar selepas
mempengerusi mesyuarat di Ibu Pejabat MARA di sini.

Menurutnya, mesyuarat turut membincangkan secara terperinci mengenai isu
tatacara perolehan dan perundingan sebelum aset tersebut dimiliki.

Katanya, semua pegawai tertinggi MARA Inc. termasuk pengerusi dan lembaga
pengarahnya telah dipanggil untuk memberikan penjelasan.

“Majlis MARA mendapati ada keraguan yang munasabah mengenai banyak perkara
dalam urusan pembelian ini,” kata beliau.

Justeru katanya, MARA telah melantik PricewaterhouseCoopers (PwC) untuk
mengendalikan urusan pengauditan lebih mendalam isu berkaitan dengan semua
perolehan aset MARA Inc Sdn Bhd yang dibeli di luar negara.

“Berdasarkan kepada laporan interim audit dalaman MARA dan beberapa
penjelasan dan ulasan yang diberikan MARA Inc, kita dapati ada beberapa
perkara dari segi tadbir urus untuk kita siasat lebih lanjut,” katanya.

Katanya proses audit itu dijangka bermula serta merta dan hasil pengauditan
dapat diketahui tidak lama lagi.

Annuar berkata, MARA juga memberikan kerjasama dan komitmen sepenuhnya
kepada pihak penyiasat, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan
polis.

Katanya, walaupun pihak polis mengatakan tidak terdapat unsur pecah amanah
dalam kes ini, beliau mahu kes itu disiasat polis sekali lagi.

“Adalah perlu saya bertemu dengan PDRM untuk memberi sedikit maklum balas
supaya PDRM mempunyai gambaran yang lebih jelas dan jika perlu, kita
mahu perkara ini diteliti sekali lagi dengan lebih mendalam oleh PDRM,” katanya.

Sayap pelaburan MARA itu terjebak dengan kontroversi berikutan pendedahan
akhbar Australia, The Age yang mendakwa ia telah membeli bangunan lima tingkat
itu dengan harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran.

Pada masa ini, MARA Inc mempunyai aset bernilai RM600 juta di Australia dan
United Kingdom. -Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY