KUALA LUMPUR, MAC 17:GARA-GARA LAGU….Penyanyi, Stacy, mendedahkan beliau pernah bermasam muka dengan Akim gara-gara lagu terbaru nyanyian suaminya bersama kumpulan The Majistret.

Kata Stacy, 27, berikutan terlalu suka dengan melodi lagu berkenaan, beliau cuba memujuk suaminya supaya memberikan karya terbabit kepadanya, namun permintaan itu ditolak mentah-mentah oleh Akim.

“Apabila mendengar melodi lagu itu, saya sangat tertarik kerana ia memang ‘makanan’ saya.

“Lagu terbabit sebenarnya mahu diberikan kepada artis lain, tetapi disebabkan masalah tertentu, ia tak dapat diteruskan. Jadi, saya cubalah minta daripadanya, tetapi dia enggan memberikannya kepada saya. Malah, dia lebih rela menyanyikannya sendiri walaupun lagu itu lebih sesuai untuk penyanyi wanita.

“Memang saya sakit hati jugalah dengan tindakannya itu, sehingga kami bertegang leher. Apapun, saya takkan berputus asa dan tetap akan merakamkannya satu hari nanti,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya apakah beliau mengizinkan lagu berkenaan dirakamkan semula oleh isterinya, Akim, 27, berkata beliau tidak mempunyai masalah andai Stacy ingin berbuat demikian.

“Saya memang tiada masalah jika ada mana-mana pihak mahukan Stacy menyanyikan lagu itu. Saya pula tidak memberikan naskhah terbabit kepadanya kerana saya mahu mencipta kelainan terhadap muzik kumpulan kami,” katanya.

Lagu Stereotype terbitan Rythm & Rhyme Entertainment milik pasangan suami isteri popular itu kini boleh didapati di semua platform digital. – MY WD